Sunday, 12 August 2012

Beberapa Ingatan Tentang Kematian

         

           Rasulullah saw bersabda, "Ingatlah pada kematian sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya perbuatan itu dapat menghapuskan dosa dan zuhud di dunia."

            Mengingati mati dapat mengelakkan manusia daripada khayal dengan kenikmatan dunia dan memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan diri menuju akhirat.

             Rasulullah saw ada menyebut kematian sebagai perosak kelazatan. Seseorang yang tidak ingat pada kematian akan tergila-gilakan dunia. Rasulullah pernah bersabda bahawa kematian ialah hadiah buat orang mukmin. Manakala dunia diibaratkan sebagai penjara bagi orang mukmin. Ini adalah kerana mereka selalu berperang dengan nafsu, melatih syahwat serta berusaha melawan godaan syaitan. Maka kematianlah yang akan membebaskan mereka daripada seksaan tersebut. Sesungguhnya orang mukmin akan sentiasa berusaha menjauhi dosa-dosa besar.

              Rasulullah saw pernah melalui sebuah majlis yang penuh dengan gelak ketawa. Rasulullah berhenti dan bersabda, "Penuhilah majlismu dengan mengingatkan sesuatu yang menjadi pengeruh kelazatan." Mereka bertanyakan apakah yang dimaksudkan dengan pengeruh kelazatan dan Rasulullah saw menjelaskan, "Pengeruh kelazatan itu ialah maut."

              Pada ketika yang lain, Rasulullah saw pergi ke masjid dan mendapati sekumpulan orang sedang bergurau dan ketawa. Rasulullah lantas bersabda, "Ingatlah pada kematian. Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya,  kalau enkau tahu apa yang aku ketahui, sudah tentu engkau akan sedikit ketawa dan banyak menangis."

              Ibnu Umar ra menceritakan bahawa pada suatu hari dia ternampak Rasulullah saw bersama-sama sepuluh orang kaum Ansar. Salah seorang daripada mereka telah bertanyakan, "Siapakah orang yang paling pandai dan mulia?" Rasulullah menjawab, "Orang yang pandai ialah mereka yang paling banyak mengingati mati dan gigih bersiap sedia untuk mati. Mereka bakal pergi dengan kemuliaan dunia dan keagungan akhirat."

             Ibrahim At-Taimiyi menyatakan bahawa ada dua hal yang memutuskan kelazatan terhadap dunia iaitu  mengingati mati dan kedukaan/musibah di dunia. Al-Hasan ra menyatakan keaiban dunia akan terlihat dengan mengingati mati. Al-Hasan sering membicarakan tentang neraka, akhirat dan kematian. Umar bin Abdul Aziz akan mengumpulkan para fukaha (ahli dalam ilmu fikah) pada setiap malam semata-mata mengingatkan kematian dan hari qiamat. Mereka akan menangis seolah-olah ada jenazah di hadapan mereka.

             Pada suatu ketika, seorang wanita bertanyakan kepada Siti Aisyah bagaimana hendak melembutkan hatinya yang keras. Siti Aisyah menjawab, "Hatimu akan lembut jikalau engkau banyak-banyak mengingati mati." Setiap kali mengingati mati dan hari qiamat, Nabi Daud akan menggeletar seluruh badan, dan jiwanya akan kembali tenang selepas mengingatkan rahmat-Nya. Al-Hasan mengatakan, "Seseorang itu dikatakan berakal jikalau dia takut pada kematian dan meratapi kematian itu."

             Dikisahkan bahawa Rabi' bin Khaitsam telah menggali sebuah kubur di rumahnya. Dalam satu hari dia akan tidur di situ beberapa kali untuk mengingati mati. Al-Utharraf bin Abdullah berkata, "Sesungguhnya mati memutuskan nikmat. Carilah kenikmatan yang tidak ada mati di sana (Akhirat)."

             Umar bin Abdul Aziz berkata kepada 'Anbasah, "Banyak-banyaklah mengingati mati. Jikalau engkau lapang rezeki, ia akan menyempitkannya dan jikalau rezekimu sempit, ia akan melapangnya." Ummi Harun pernah mengatakan kepada Abu Sulaiman Ad-Darani bahawa beliau tidak suka mati kerana memikirkan bagaiman hendak menemui-Nya sedangkan beliau banyak derhaka kepada-Nya.

              Rasulullah saw sering mengingatkan umatnya supaya banyak-banyaklah mengingati mati. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah tentang siapakah yang akan dihimpunkan bersama-sama dengan para syuhada pada hari qiamat nanti. Rasulullah saw menjawab, "Orang yang mengingati mati dalam sehari semalam sebanyak dua puluh kali."

*Saya hanya ingin berkongsi pengetahuan. Assalamualaikum.. *


No comments:

Post a Comment