Thursday 16 August 2012

Gambaran Pada Hari Manusia Dihimpunkan

Gambar Hiasan....

           Apabila sudah tiba masa yang dijanjikan, Allah SWT akan memerintahkan malaikat Israfil supaya meniup sangkakala. Rasulullah SAW bersabda, "Apabila Israfil meniup sangkakala itu, maka matilah seluruh makhluk di langit dan bumi kecuali yang dikehendaki oleh-Nya iaitu Jibril, Mikail, Israfil, dan Izrail. Allah memerintahkan Izrail mencabut nyawa Jibril, diikuti nyawa Mikail, nyawa Israfil dan akhirnya nyawa Izrail sendiri. Setelah tiupan pertama, semua yang mati berada di alam Barzakh selama 40 tahun. Allah menghidupkan Israfil kembali untuk menjalankan perintah-Nya iaitu meniup untuk kali kedua."

             Israfil yang dihidupkan kembali bersiap sedia untuk meniup sangkakala kali yang kedua. Tiupan ini akan membangkitkan semua makhluk daripada alam Barzakh atas tujuan untuk dihimpunkan dan seterusnya diadili.Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 68 yang bermaksud:

"....Kemudian ditiup sekali  lagi, lalu mereka berdiri bangkit daripada kubur) sambil menunggu hukuman Allah."

              Langitnya tidak ada matahari, bulan dan bintang. Bintang-bintang berguguran, matahari dan bulan terbenam lalu bumi menjadi gelap. Dengan kehendak-Nya langit berputar dan pecah dengan dahsyatnya selama 500 tahun. Kemudian langit cair dan mengalir, gunung-ganang bertaburan dan manusia bertempiaran serta bertebaran.

               Makhluk dihimpunkan di suatu tempat yang datar, putih yang mana tiada tumpahan darah dan tiada dosa dilakukan di situ. Tempat itu tiada jurang dan bukit untuk dijadikan tempat persembunyian. Seluruh makhluk di langit dan bumi iaitu malaikat, jin, manusia, syaitan, bintang, dan binatang berkumpul di satu tempat di bawah pancaran matahari yang  teramat panas. Semuanya dalam keadaan bertelanjang.

              Kedahsyatan hari itu membuatkan manusia tidak sempat hendak memikirkan aurat yang terbuka. Masing-masing sibuk memikirkan balasan yang bakal diterima sehingga tidak sempat menoleh.

             Rasulullah SAW bersabda, " Fikirkanlah wahai manusia bertapa hina dan pedihnya ketika dibangkitkan. Takutlah akan tiupan itu dan takutlah akan keputusan yang bakal diterima, bahagia atau celaka. Jikalau di dunia engkau suka berbuat dosa atau engkau kaya tetapi bakhil, maka di hari itu engkaulah orang yang paling hina, kakimu melangkah longlai. Dan berhadapan pula dengan binatang liar lagi berbisa dan tidak boleh lagi menghindarkan diri daripada semua itu."

           Panahan matahari yang panas menyebabkan keringat bercucuran daripada hujung rambut hingga ke hamparan kiamat. Rasulullah SAW bersabda, " Pada hari kiamat matahari berada sejengkal. Ada orang yang peluhnya sampai ke tumit, ada yang sampai betis, lutut, paha, pinggang, dan mulut. Ada pula yang tenggelam dalam peluhnya sendiri."

           Begitulah keadaannya. Masing-masing akan merasai seksa dan azab setimpal dengan dosa sendiri. Maha suci Allah mengumpulkan manusia dari segenap penjuru bumi dengan keadaan masing-masing mengikut amalan yang dibuat semasa didunia. Segala penyesalan sudah tidak berguna lagi. Menantilah seluruh makhluk akan keputusan masing-masing dengan debaran dan ketakutan yang disulami seksaan yang amat azab.
Gambar Hiasan




Sunday 12 August 2012

Beberapa Ingatan Tentang Kematian

         

           Rasulullah saw bersabda, "Ingatlah pada kematian sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya perbuatan itu dapat menghapuskan dosa dan zuhud di dunia."

            Mengingati mati dapat mengelakkan manusia daripada khayal dengan kenikmatan dunia dan memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan diri menuju akhirat.

             Rasulullah saw ada menyebut kematian sebagai perosak kelazatan. Seseorang yang tidak ingat pada kematian akan tergila-gilakan dunia. Rasulullah pernah bersabda bahawa kematian ialah hadiah buat orang mukmin. Manakala dunia diibaratkan sebagai penjara bagi orang mukmin. Ini adalah kerana mereka selalu berperang dengan nafsu, melatih syahwat serta berusaha melawan godaan syaitan. Maka kematianlah yang akan membebaskan mereka daripada seksaan tersebut. Sesungguhnya orang mukmin akan sentiasa berusaha menjauhi dosa-dosa besar.

              Rasulullah saw pernah melalui sebuah majlis yang penuh dengan gelak ketawa. Rasulullah berhenti dan bersabda, "Penuhilah majlismu dengan mengingatkan sesuatu yang menjadi pengeruh kelazatan." Mereka bertanyakan apakah yang dimaksudkan dengan pengeruh kelazatan dan Rasulullah saw menjelaskan, "Pengeruh kelazatan itu ialah maut."

              Pada ketika yang lain, Rasulullah saw pergi ke masjid dan mendapati sekumpulan orang sedang bergurau dan ketawa. Rasulullah lantas bersabda, "Ingatlah pada kematian. Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya,  kalau enkau tahu apa yang aku ketahui, sudah tentu engkau akan sedikit ketawa dan banyak menangis."

              Ibnu Umar ra menceritakan bahawa pada suatu hari dia ternampak Rasulullah saw bersama-sama sepuluh orang kaum Ansar. Salah seorang daripada mereka telah bertanyakan, "Siapakah orang yang paling pandai dan mulia?" Rasulullah menjawab, "Orang yang pandai ialah mereka yang paling banyak mengingati mati dan gigih bersiap sedia untuk mati. Mereka bakal pergi dengan kemuliaan dunia dan keagungan akhirat."

             Ibrahim At-Taimiyi menyatakan bahawa ada dua hal yang memutuskan kelazatan terhadap dunia iaitu  mengingati mati dan kedukaan/musibah di dunia. Al-Hasan ra menyatakan keaiban dunia akan terlihat dengan mengingati mati. Al-Hasan sering membicarakan tentang neraka, akhirat dan kematian. Umar bin Abdul Aziz akan mengumpulkan para fukaha (ahli dalam ilmu fikah) pada setiap malam semata-mata mengingatkan kematian dan hari qiamat. Mereka akan menangis seolah-olah ada jenazah di hadapan mereka.

             Pada suatu ketika, seorang wanita bertanyakan kepada Siti Aisyah bagaimana hendak melembutkan hatinya yang keras. Siti Aisyah menjawab, "Hatimu akan lembut jikalau engkau banyak-banyak mengingati mati." Setiap kali mengingati mati dan hari qiamat, Nabi Daud akan menggeletar seluruh badan, dan jiwanya akan kembali tenang selepas mengingatkan rahmat-Nya. Al-Hasan mengatakan, "Seseorang itu dikatakan berakal jikalau dia takut pada kematian dan meratapi kematian itu."

             Dikisahkan bahawa Rabi' bin Khaitsam telah menggali sebuah kubur di rumahnya. Dalam satu hari dia akan tidur di situ beberapa kali untuk mengingati mati. Al-Utharraf bin Abdullah berkata, "Sesungguhnya mati memutuskan nikmat. Carilah kenikmatan yang tidak ada mati di sana (Akhirat)."

             Umar bin Abdul Aziz berkata kepada 'Anbasah, "Banyak-banyaklah mengingati mati. Jikalau engkau lapang rezeki, ia akan menyempitkannya dan jikalau rezekimu sempit, ia akan melapangnya." Ummi Harun pernah mengatakan kepada Abu Sulaiman Ad-Darani bahawa beliau tidak suka mati kerana memikirkan bagaiman hendak menemui-Nya sedangkan beliau banyak derhaka kepada-Nya.

              Rasulullah saw sering mengingatkan umatnya supaya banyak-banyaklah mengingati mati. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah tentang siapakah yang akan dihimpunkan bersama-sama dengan para syuhada pada hari qiamat nanti. Rasulullah saw menjawab, "Orang yang mengingati mati dalam sehari semalam sebanyak dua puluh kali."

*Saya hanya ingin berkongsi pengetahuan. Assalamualaikum.. *


Raihan - Assalamualaikum